Skip to main content
THEATER MODE

Najib Pertahankan Wang RM470 Juta Bukan Dari 1MDB


Najib Pertahankan Wang RM470 Juta Bukan Dari 1MDB
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, wang berjumlah RM470 juta yang disalurkan kepada pelbagai entiti politik termasuk Umno bukan berpunca daripada 1MDB.

Malah, Najib juga menegaskan perkara itu masih disiasat pihak berkuasa.

"Ia masih tertakluk kepada siasatan. Tidak boleh dikatakan sebagai dana 1MDB.

"Sumber dana mesti ditetapkan dengan jelas. Biar perkara ini diserahkan kepada pihak penyiasat sebab kami tidak mahu mengganggu apa jua hasil siasatan," kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan oleh pemberita sama ada RM470 juta yang didepositkan daripada akaunnya kepada 102 entiti politik termasuk Umno merupakan wang 1MDB.

Ditanya sama ada wang itu akan dikembalikan sekiranya ia merupakan wang 1MDB, Najib sekali lagi menafikannya.

"Ia bukan dana 1MDB kerana saya sedar dengan jelas ketika keluarkan cek, kami sangat-sangat jelas ia bukan datang dari 1MDB," tegas Najib.

Sebelum ini, satu laman berita atas talian menunjukkan bagaimana parti komponen BN menerima sejumlah RM470 juta dari akaun Najib melalui 102 transaksi antara April 2012 dan Ogos 2013 yang didakwa diseleweng daripada dana 1MDB.

Parti yang terlibat ialah Umno, MCA, MIC, GERAKAN dan SUPP. Umno menerima bahagian paling besar sebanyak RM417.4 juta atau 88.8 peratus daripada wang berkenaan.

Penerima kedua terbesar ialah MIC dengan jumlah RM20.55 juta, manakala MCA RM16.5 juta. Wang tersebut dipercayai diagihkan, antara lain, kepada bahagian dan sayap parti.

Parti komponen BN - dan bekas komponen - peringkat tempatan dan negeri sebelum ini mendakwa akaun mereka dibekukan sejak Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

Susulan itu, Jawatankuasa 1MDB mengesahkan sejumlah 408 akaun dibeku bagi membantu siasatan terhadap kes itu.

Dalam wawancara eksklusif dengan wartawan portal berita itu juga, Najib memberitahu wang AS$681 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya merupakan sumbangan daripada Arab Saudi dan bukannya diselewengkan aripada 1MDB seperti didakwa.

Beliau berkata Raja Arab Saudi ketika itu allahyarham Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud memberi jaminan negaranya akan menghantar sumbangan.

"Apa yang saya tahu, saya terima seadanya bahawa ia datang daripada Saudi atas arahan Raja Abdullah," katanya.

Najib Pertahankan Wang RM470 Juta Bukan Dari 1MDB


Open Comments

You Might Also Like:

Loading...