Skip to main content
THEATER MODE

Jho Low Ditangkap? Ini Jawapan Tun Dr Mahathir


Jho Low Ditangkap? Ini Jawapan Tun Dr Mahathir
Laporan yang belum disahkan mengatakan ahli perniagaan Malaysia, Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho telah ditahan di China.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak sedar mengenai penahanan itu.

""Saya tak tahu, terima kasih kerana beri maklumat kepada saya. Saya harap dia akan ditangkap," katanya kepada pemberita di Parlimen pagi ini.

Ditanya sama ada Malaysia dan China mempunyai perjanjian ekstradisi, Mahathir menjawab: "Tidak, tetapi mereka boleh berikannya kembali kepada kita."

Berita mengenai penahanan itu tersebar ketika pertemuan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin dengan Perdana Menteri China, Li KeQiang.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata Bukit Aman belum menerima sebarang maklumat mengenai penangkapan Jho Low.

“Saya tidak ada maklumat perkara itu, saya akan semak," katanya kepada Bernama.

Februari lalu, bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China.

Zahid berkata demikian ketika mengulas permintaan China untuk mengekstradisi 11 etnik Uighur yang dilapor telah ditahan di negara ini.

Semalam, Sarawak Report memetik sebuah stesen radio Hong Kong mendakwa pihak berkuasa China telah menahan ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu.

Pada 11 Julai, South China Morning Post berkata Low telah melarikan diri ke tanah besar China dari Macau dengan menggunaan kereta atau jet peribadi.

Sebelum itu, jutawan berusia 37 tahun itu melarikan diri ke Macau selepas polis Malaysia mencarinya di Hong Kong.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dalam saman sivilnya menamakan ahli perniagaan itu antara individu terlibat dalam penyalahgunaan dana 1MDB.

Dia dituduh menggunakan dana 1MDB untuk membeli kapal persiaran mewah Equanimity; barang kemas untuk model Miranda Kerr; dan kalung berlian merah jambu berharga AS$ 27.3 juta untuk isteri Malaysian Official 1 (MO1).

DOJ mendakwa berlian merah jambu itu dibeli menggunakan AS$ 620 juta yang didakwa MO1 telah kembalikan kepada penderma dari Arab Saudi, tetapi sebaliknya disalurkan ke akaun yang didakwa dikawal oleh Low.

MO1 dikenal pasti sebagai bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menafikan beliau menyalahgunakan dana awam untuk keuntungan peribadi.

Jho Low Ditangkap? Ini Jawapan Tun Dr Mahathir


https://www.kecoh.info/2018/07/jho-low-ditangkap-ini-jawapan-tun-dr.html

Open Comments