Skip to main content
THEATER MODE

Rosmah Disaman RM59 Juta Oleh Syarikat Tukang Emas Lubnan


Rosmah Disaman RM59 Juta Oleh Syarikat Tukang Emas Lubnan

Kalau sebelum ini kecoh tentang rampasan harta di kediaman milik Najib dan Rosmah dan kemudian jumlah atau nilai rampasan pula menjadi tumpuan seluruh media dan masyarakat di seluruh dunia umumnya.

Dengan kes yang terbaru membabit isteri bekas Perdana Menteri Malaysia itu, Difahamkan seorang tukang emas borong dari Lubnan telah memfailkan saman RM59,831 juta terhadap Datin Seri Rosmah Mansor, Jun lalu berikutan 44 barangan kemas yang dihantar kepada Rosmah pada Februari tahun ini telah dirampas oleh polis pada Mei, lapor media tempatan.

Sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan memfailkan saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bagi menuntut isteri bekas perdana menteri itu memulangkan kembali 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar barang kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta (RM59.831 juta).

Global Royalty Trading SAL, yang berpangkalan di Beirut selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan David Gurupatham dan Koay di Mahkamah Tinggi di sini pada 26 Jun lepas dengan menamakan isteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak itu selaku defendan tunggal.

Media memperoleh dokumen itu hari ini selepas pengurusan kes di dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Siti Faraziana Zainuddin yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan S.Narkunavathy.

Narkunavathy ketika ditemui pemberita berkata Jabatan Peguam Negara memohon untuk menjadi pencelah dalam kes saman berkenaan atas alasan kesemua barang kemas yang dirampas adalah milik Kerajaan Malaysia dan ia dibeli menggunakan wang yang dicuri.

Beliau berkata mahkamah turut memerintahkan Rosmah memfailkan pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 23 Julai dan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 27 Julai.

Dalam pernyataan tuntutan, Global Royalty, pemborong barang kemas antarabangsa mendakwa menjadi kebiasaan pada tahun-tahun sebelumnya, syarikat itu akan menghantar barangan kemas kepada Rosmah, yang merupakan pelanggan tetap syarikat itu mengikut permintaannya untuk dipilih serta dinilai dan defendan akan membeli barang kemas yang telah dipilih melalui pembayaran sama ada daripada defendan sendiri atau oleh pihak ketiga.

Syarikat itu, yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan kaya dari seluruh dunia mendakwa barangan kemas yang tidak dipilih akan dipulangkan dan ada kalanya dalam keadaan tertentu Rosmah juga akan meminjam beberapa barang kemas itu dan memulangkannya kepada plaintif.

Plaintif mendakwa defendan akan menerima barangan kemas daripada syarikat itu melalui defendan sendiri atau pekerja/ejennya di Kuala Lumpur, Singapura atau Dubai.

Syarikat itu juga mendakwa pada 10 Feb lepas, pihaknya telah menyerahkan 44 unit barangan kemas, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara US$124,000 dan US$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejen syarikat itu.

Plaintif berkata semasa serahan itu, defendan juga menerima terma dan syarat yang dinyatakan dalam Memorandum bernombor 926 berkaitan senarai barang kemas itu.

Global Royalti mendakwa Rosmah melalui surat bertarikh 22 Mei lepas mengesahkan dan mengakui penerimaan barangan berkenaan dan defendan secara bertulis pada tarikh sama turut mengesahkan kesemua barang kemas itu tidak lagi berada dalam milikannya tetapi disita dan kini berada dalam jagaan pihak berkuasa Malaysia.

Syarikat itu mendakwa pada setiap masa material, plaintif adalah pemilik kepada barang kemas tersebut dan hak pemilikan itu tidak pernah berpindah kepada defendan.

Dalam tuntutan itu, Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa mereka adalah pemilik sah 44 unit barangan kemas itu selain memohon perintah bahawa hak milik barang kemas itu tidak berpindah kepada defendan.

Syarikat itu juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah memberikan senarai sitaan barang kemas berkenaan dan memohon perintah supaya barang kemas dikembalikan atau sekiranya barang-barang itu tidak dapat dipulangkan, Rosmah bertanggungjawab untuk membayar barang kemas itu berjumlah US$14.79 juta (RM59.831 juta).

Polis belum terima permohonan pulangkan barang kemas Rosmah

Polis belum menerima permohonan daripada isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor bagi memulangkan barang kemas yang dirampas dari serbuan berhubung siasatan 1MDB.

Ketua Polis Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Rosmah mempunyai hak untuk memohon pihak berkuasa memulangkan barangan yang dirampas meskipun ia mungkin sukar kerana barangan itu diperlukan dalam siasatan.

"Ada prosedur perundangan yang dia kena ikut. Itu hak dia utk mohon, (tapi) barang-barang itu ada kaitan dengan siasatan.

"Saya mengikuti siasatan setiap hari dan setakat ini, tiada sebarang permohonan daripada Rosmah atau sesiapa (bagi memulangkan barang yang dirampas)," kata Fuzi dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Seorang tukang emas borong terkenal dari Lubnan memfailkan saman AS$14.79 juta (RM59.831 juta) terhadap Rosmah bulan lalu berhubung penghantaran 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari sebelum dirampas polis pada Mei.

Sementara itu, mengulas berhubung dakwaan suami Rosmah, Datuk Seri Najib Razak bahawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Amar Singh tidak mengikut prosedur piawai (SOP) dalam serbuan di kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu, Fuzi berkata Najib boleh katakan apa saja yang dia mahu.

"Itu dia cakap. Macam-macam dia boleh cakap. Biar nak cakap apa pun, kita ikut proses undang-undang. Kita tunggu sahaja," katanya.

Najib sebelum ini dilaporkan menyaman tiga individu yang menurutnya prejudis terhadapnya dalam siasatan 1MDB.

Tiga individu itu ialah Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull dan Amar Singh.

Rosmah Disaman RM59 Juta Oleh Syarikat Tukang Emas Lubnan


https://www.kecoh.info/2018/07/Rosmah.Disaman.RM59.Juta.Oleh.Syarikat.Tukang.Emas.Lubnan.html

Open Comments